|
|
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 April – Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, esok.
Istiadat pengurniaan suratcara pelantikan dan mengangkat sumpah serta menyimpan rahsia itu dijadual berlangsung di Balairong Seri bermula pukul 10 pagi.
Majlis bersejarah yang dihadiri semua anggota Jemaah Menteri itu akan disiarkan secara langsung oleh TV1.
Najib yang mengambil alih jawatan Presiden UMNO daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung parti minggu lalu, dijangka mengumumkan senarai menteri Kabinet pada Rabu depan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam kenyataannya hari ini mengumumkan Tuanku Mizan telah memperkenankan pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri.
Selepas upacara angkat sumpah, pada sebelah petang, Abdullah yang menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada 30 Oktober 2003 dijadual menyerahkan nota serah tugas kepada Najib di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Selain dihadiri anggota Jemaah Menteri turut dijadual bersama pada majlis berkenaan ialah Mohd. Sidek dan semua ketua setiausaha kementerian.
Najib kemudiannya akan menyampaikan ucapan sulungnya kepada kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejurus majlis penyerahan nota serah tugas itu selesai.(dipetik dari Utusan Malaysia online)
Pesanan teman kepada yang bergelar pemimpin
Huraian
Seorang pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang menjalankan tugas kepimpinannya berdasarkan nilai-nilai yang ditetapkan oleh syarak bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Seorang pemimpin dilarang berlaku zalim kepada rakyat bawahannya bahkan hendaklah sentiasa merendah diri dan melayan mereka dengan baik dan berlemah lembut.
Pemimpin yang zalim dan mengamalkan sikap kuku besi hanya akan menambah kebencian di kalangan rakyat jelata.
Apabila pemimpin merendah diri, mereka pasti dapat menawan hati para pengikut dan orang bawahannya. Dengan ini, tugas menyeru mereka ke arah kebaikan dan usaha-usaha bagi mengukuhkan keimanan menjadi semakin mudah.
Bagi orang-orang bukan Islam pula, mereka mudah tertarik dengan ciri kepimpinan yang ditonjolkan itu dan akhirnya mudah untuk patuh kepada arahan pemimpin mereka.
Dengan ini tali persaudaraan dan hubungan kemasyarakatan semakin kukuh. Seterusnya mewujudkan sebuah negara yang aman dan makmur.
Kesimpulan
Sifat merendah diri adalah amalan mulia dan patut diamalkan walaupun oleh mereka yang bergelar pemimpin.
Pemimpin yang baik hendaklah sentiasa merendah diri kepada rakyat bawahannya bukan bersikap sombong dan mementingkan diri sendiri. Dengan ini mereka akan disegani oleh rakyat kerana tertarik dengan penampilan pemimpin seperti ini.(dipetik dari Utusan Malaysia Online)
Harapan teman Malaysia akan terus aman dan makmur.. InsyaAllah
0 komen:
Post a Comment