Konsep Satu Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menimbulkan pelbagai reaksi positif dari banyak kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, tentulah tidak dapat dinafikan bahawa persepsi negatif dan rasa kebimbangan akan timbul juga, terutamanya terhadap sesuatu visi yang baru, khususnya apabila terlalu banyak lahirnya spekulasi yang cuba memberikan gambaran yang bukan-bukan terhadap sesuatu gagasan yang baru itu.
Bagi saya, apa-apa saja gagasan dan visi baru yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, maka hakikatnya segala sesuatu yang telah tersurat di dalam Perlembagaan negara tentulah tidak akan disentuh, malah peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan tentulah akan menjadi asas penting yang tidak boleh di cabuli.
Dari perspektif agama, maka telah wujud peruntukan di dalam Perlembagaan bahawa Islam adalah agama negara, dan agama-agama lain bebas diamalkan di dalam negara kita secara aman dan harmoni.
Peruntukan ini amat jelas memberikan perlindungan terhadap kekuatan agama Islam yang tidak mungkin dicabar kedudukannya, dan sesiapa sahaja yang menjadi Kerajaan, maka Kerajaan itu haruslah menghormati dan melindungi kedudukan Islam seperti yang termaktub itu, dan dalam masa yang sama memberikan perlindungan kepada agama-agama lain yang mahu diamalkan oleh penganut masing-masing dalam keadaan aman dan harmoni.
Sejarah pembangunan tamadun Islam sejak zaman Rasulullah SAW sehingga ke zaman kegemilangan Islam yang telah bertapak di Eropah dan China telah membuktikan bahawa konsep "satu" agama tauhid ialah membangun akidah dan syariah penganut Islam dengan amat kuat dan kukuh sekali, di samping menghormati penganut agama lain dan amalan yang mereka lakukan dalam agama mereka.
Sejarah membuktikan bahawa pemerintahan Islam semasa Rasulullah SAW di Madinah, dan semasa Islam memerintah Andalusia, pemerintah itu tetap berlaku adil terhadap semua rakyat tanpa sebarang tekanan yang boleh membawa kepada konflik yang akan menimbulkan perpecahan dan sengketa di dalam masyarakat.
Dasar ini dihormati dan difahami oleh semua warga yang menjadi rakyat di bawah pemerintahan itu, lalu tidak terdapat sebarang gerakan atau pengkhianatan yang berlaku di kalangan rakyat sehingga memungkinkan timbulnya rasa resah gelisah dan tidak puas hati di antara rakyat.
Konsep Satu Malaysia semestinya akan mengambil iktibar dari perjalanan sejarah ini, demi keamanan dan kekuatan Malaysia sendiri.
Ulung
Di negara kita, seperti yang telah saya sebutkan di atas, dari perspektif agama, maka sejak kita mencapai kemerdekaan, dan semenjak berkuatkuasanya Perlembagaan, maka agama Islam merupakan agama negara, dan Raja-Raja Melayu merupakan sebuah institusi yang menjaga dan melindungi hal elwal agama Islam.
Yang di-Pertuan Agong dalam lafaz penerimaan pelantikan Seri Paduka, salah satu perkara yang disebutkan ialah melindungi agama Islam di negara ini.
Malah kedudukan agama Islam sebagai agama negara yang ulung di dalam negara kita juga adalah merupakan satu kontrak sosial yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun kerana sejarah telah membuktikan bahawa persetujuan untuk memaktubkan Islam sebagai agama negara adalah merupakan satu kesepakatan di antara Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra dengan ketua parti politik MCA dan MIC yang mewakili tiga kaum terbesar rakyat Malaysia ketika itu.
Dan sebagai jaminan untuk kekuatan dan keamanan negara jugalah, Perlembagaan memperuntukkan bahawa agama-agama lain bebas diamalkan oleh penganut masing-masing dalam aman dan harmoni.
Kedudukan ini, saya rasa tidak mungkin disalahgunakan oleh sesiapa pun, dan sebagai Kerajaan yang bertanggung jawab, tentulah Perdana Menteri menyedari hal ini ketika meletakkan agenda pemerintahannya yang berkonsepkan "Satu Malaysia".
Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, saya percaya majoriti rakyat tetap cintakan perdamaian dan keharmonian, termasuk dalam mengamalkan agama masing-masing, dan dalam pendekatan mereka ketika membicarakan isu-isu agama di dalam masyarakat dan di kalangan mereka sendiri.
Konsep satu Malaysia mengakui keadaan ini, dan tentunya akan menolak sebarang gerakan atau agenda sebarang kumpulan agama yang radikal dan ekstrem dari kalangan agama mana sekali pun.
Hal ini saya sebutkan, kerana senario masyarakat dunia pada hari ini telah menyaksikan kelahiran golongan radikal dan ekstremis di kalangan berbagai-bagai agama di seluruh dunia. Kita menyaksikan kelahiran ekstremis agama di kalangan Kristian, Hindu, Buddha dan Islam sendiri, yang bertindak ganas dengan menyalahgunakan agama dan memperalatkan agama untuk golongan yang tertentu, atau kerana kepentingan diri sendiri.
Saya percaya, konsep Satu Malaysia akan memerangi tindakan golongan ini sekiranya hal ini juga akan timbul di dalam masyarakat kita, iaitu memerangi golongan pelampau yang boleh menganggu kestabilan negara dan rakyat, malah yang mungkin juga merupakan gerakan radikal yang terkeluar dari kesucian ajaran agama itu sendiri.
Konsep satu Malaysia tentunya tidak akan melihat kepada persamaan yang terkeluar dari peruntukan Perlembagaan dan terpesong daripada ajaran serta definasi agama itu sendiri, terutamanya agama Islam yang mempunyai ciri-ciri ritual dan falsafah ketuhanannya tersendiri yang tidak mungkin di rombak atau dicabar oleh sesiapa pun. (Sila lihat juga tulisan Khairuddin Mohd Zain, Utusan Malaysia 15 April 2009, Satu Malaysia: Perspektif Orang Muda)
Dalam falsafah ketuhanan umpamanya, tidak mungkin sebarang penganut agama lain akan menimbulkan sebarang bantahan di atas cara penyembahan dan definisi ketuhanan masing-masing.
Umat Islam di Malaysia tidak pernah mempersoalkan tentang acara-acara keagamaan Hindu, Krisrtian, Buddha dan sebagainya yang diamalkan di negara kita pada hari-hari perayaan keagamaan atau di rumah-rumah ibadat mereka, kerana hal itu adalah merupakan ritual mereka masing-masing.
Demikian juga penganut agama lain tidak seharusnya mempersoalkan konsep ketuhanan dan ritual serta perlaksanaan syariah agama Islam yang sebenarnya, kerana umat Islam lebih memahami dasar agama dan ajarannya di kalangan masyarakat mereka.
Gagasan
Dasar tanpa ganggu menganggu dalam ajaran agama inilah yang dapat membentuk satu kekuatan bangsa dan rakyat mengikut konsep unity in diversity, dan konsep inilah yang seharusnya didokong oleh gagasan Satu Malaysia dalam menegakkan hak dan tanggung jawab semua kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama ini.
Rasulullah SAW ketika diminta oleh orang musyrikin supaya bersetuju untuk saling sembah menyembah tuhan masing-masing, termasuk menyembah Allah, maka baginda mendapat panduan daripada Allah SWT agar tidak bertolak ansur di dalam isu yang amat fundamental ini, dengan menegaskan kepada mereka bahawa "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agama aku", ertinya di dalam isu ketuhanan dan ibadat, maka tidak seharusnya timbul sebarang persengketaan yang boleh memecahbelahkan masyarakat awam, kerana isu ini adalah isu akidah masing-masing.
Dalam konsep amalan agama yang eksklusif untuk agama itu, kita bersetuju untuk tidak mempersoalkan kesucian agama lain, walau pun dalam banyak perkara dalam amalan agama masing-masing itu, terdapat perbezaan pandangan dan pendapat, terutamanya dari segi akidah, kerana kita percaya kepada keharmonian manusia dan masyarakat, maka dalam pendekatan baru ini kita bolehlah berpegang kepada dasar agree to disagree berpandukan kepada pendekatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap kaum musyrikin itu.
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab tentang agama, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom sendiri merupakan satu manifestasi baru yang mungkin membawa semangat satu Malaysia, iaitu ketika beliau menyatakan secara terus terang kesediaannya untuk mengkaji semula tentang program dan agenda Islam di negara kita, termasuk isu yang berkaitan dengan isu istilah agama yang tertentu, yang telah menimbulkan begitu banyak kekeliruan di dalam masyarakat Islam dan bukan Islam di negara kita.
Oleh itu saya rasa masyarakat Islam haruslah melihat kepada sudut yang lebih positif terhadap konsep Satu Malaysia ini dari perspektif agama. Dalam masa yang sama mereka juga seharusnya mengemukakan gagasan yang lebih membina dan konstruktif bagaimanakah konsep atau gagasan ini seharusnya dibangunkan dengan sebaik-baiknya berdasarkan polisi ini dan dapat mengukuhkan lagi kedudukan agama negara dan umatnya.
Selain itu bagi menambahkan lagi kefahaman yang mantap terhadap agama Islam sendiri, yang nampaknya akhir-akhir ini telah diberikan pentafsiran yang berbeza- beza sehingga menimbulkan kekeliruan yang banyak di dalam masyarakat kita.
Golongan agama dan para sarjana Islam seharusnya mengambil peluang dari keterbukaan dasar negara ini untuk memberikan kerjasama dan pemikiran mereka yang membina bagaimanakah dasar Satu Malaysia dapat digunakan sebaik-baiknya dalam meningkatkan perlaksanaan agenda agama dan umatnya di negara ini.
(Utusan Online)
0 komen:
Post a Comment