Satu Destinasi

Di mana kakiku melangkah, satu destinasi yang belum pasti..

Glitter Words
RENUNGAN
Penguasaan Ilmu Pengetahuan
Sabda Rasullah SAW
"Sesesiapa yang mahukan kecemerlangan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan kecemerlangan akhirat hendaklah dengan ilmu. Sesiapa yang inginkan kedua-duanya hendaklah juga dengan ilmu".
Kehidupan Berkualiti
Firman Allah SWT
" Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepada mu akan pahala dan kebahagiaan akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagian mu (keperluan dan bekalan mu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepada mu (dengan pemberian nikmat-nikmatNya yang melimpah-limpah); janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan".
(al-Qasas:77)

komunis Chin Peng berjabat tangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Abdul Rahman selepas perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya dan Kerajaan Thailand ditanda tangani di Hatyai pada 1 Disember 1989.



Filem Bukit Kepong adalah antara filem Melayu genre peperangan yang sangat lekat di hati penulis. Latar belakang peristiwa yang menonjolkan keberanian anggota polis dan orang kampung menentang kekejaman segerombolan pengganas komunis itu meninggalkan kesan sehingga ke hari ini.

Babak seorang isteri mengambil tempat si suami untuk mempertahankan balai polis, detik beberapa orang kanak-kanak menangisi pemergian orang tua mereka, semuanya kekal melekat di minda dan hati penulis sehingga ke hari ini.

Sejarah membuktikan bahawa gerakan ketenteraan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpin oleh seorang keturunan Melayu bernama Ahmad Indera telah memusnahkan Bukit Kepong.

Walaupun dididik dengan latar belakang sekolah agama, malahmenjadi guru agama, Ahmad Indera tidak terkecuali dipukau oleh faham komunisme. Maka berlakulah insiden Bukit Kepong, saat Sarjan Jamil baru sahaja mengambil alih teraju kawalan keselamatan di Bukit Kepong daripada pimpinan seorang pegawai polis 'Mat Saleh'.

Peristiwa yang berlaku pada jam 5 pagi, 23 Februari 1950 itu digambarkan dengan cukup baik menerusi filem tersebut. Dengan filem itu juga, kita didedah dan difahamkan dengan makna tersirat di sebalik perjuangan menentang komunis.

Ada darah yang mengalir. Ada nyawa yang melayang dalam usaha menentang sebuah 'isme' yang jelas tidak praktikal dan bermotif jahat.

Faham antikomunisme ditolak bukan sahaja atas nilai 'isme' yang lemah dan longgar tetapi kerana keganasan yang membawa padah kepada bangsa dan negara.

Dalam menghadapi ratusan gerila komunis, ramai anggota polis terkorban. Keluarga anggota juga terbunuh. Beberapa orang kampung yang berkhidmat sebagai Auxillary Police/Home Guard juga gugur.

Balai Polis Bukit Kepong rentung. Ini semua bukan propaganda politik. Sebaliknya kisah benar yang membayangkan perjuangan kita untuk beroleh kemerdekaan. Kalangan ayah dan ibu kita yang kebetulan berada sezaman dengan peristiwa tersebut mungkin punya fahaman yang berlainan dengan kita yang lahir di zaman serba aman ini.

Apakah menjadi sesuatu yang sangat sukar memahamkan 'generasi x', 'generasi y' dan 'generasi z' dengan hakikat sejarah ini?

Hari ini, atas nilai sentimental yang juga longgar dan tidak berasas, ada usaha untuk mendewa-dewakan pengganas komunis di dalam minda masyarakat kita.

Ada desakan untuk membawa kembali pengganas ke tanah air dan diangkat sebagai hero. Adakah mudah sangat masyarakat kita memaafkan dosa kemanusiaan yang dilakukan oleh pengganas komunis sebelum ini. Padahal, dosa Bukit Kepong sahaja belum tentu mampu diluputkan dari ingatan.

Perjuangan yang diteras oleh faham "The Communist Manifesto (1848)" itu dijadikan asas kepada usaha mewujudkan masyarakat yang kononnya akan berkongsi kegembiraan bersama kerana tidak wujud 'perbezaan antara kelas' dan sebagainya.

Bagi menjayakan cita-cita komunis ini, mereka sanggup lakukan apa sahaja, termasuk membunuh. Karl Marx dan Friedrich Engels menggariskan 'arah perjuangan' yang membenarkan apa sahaja cara digunakan untuk mewujudkan masyarakat yang sedemikian utopian sifatnya.

Maknanya, insiden Bukit Kepong dan banyak lagi kekejaman komunis bagaikan mahu dibuang begitu sahaja.

Penulis beranggapan segala usaha ini mempunyai tujuan yang sengaja mahu mencabar kesahihan sejarah. Apa pun alasan yang diberikan, ini semua tidak mampu menghilangkan luka sejarah di sebalik tindakan PKM selama ini.

Masyarakat secara umum, apatah lagi veteran polis dan tentera mampu mengalirkan air mata, sekiranya jasa mereka dilupakan tetapi sebaliknya menerima kembali musuh negara sebagai wira.

Apa pun, kecenderungan untuk 'memperbaiki' jalur sejarah bagi menepati cita-cita politik kumpulan dan individu tertentu menjadi sesuatu yang sangat ketara sejak kebelakangan ini.

Sejarah yang sedia tersurat dirasakan tidak benar dan tidak selari dengan maksud dan cita-cita politik kumpulan tertentu. Maka usaha mesti dilakukan untuk 'menulis semula' sejarah dengan lembaran yang lebih mesra politik kepada kumpulan tersebut. Apakah langkah dan tindakan ini wajar?

Dua minggu lepas, penulis terbaca tulisan seorang editor ekonomi di sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memperkatakan mengenai Tragedi 13 Mei 1969. Menurutnya tragedi itu berpunca daripada "mereka yang berkuasa mahu kekal berkuasa".

Walaupun mempunyai jalur dan niat pemikiran yang agak 'nakal dan jahat' namun itulah 'tafsiran baru' sejarah yang ingin dan mahu dilambakkan ke dalam pemikiran masyarakat kita.

Tragedi 13 Mei ditafsir dengan 'hala tuju politik' sendiri dan sekali gus membuktikan kegagalan menerima hakikat sejarah.

Dalam laman web youtube misalnya, banyak klip video dan bicara yang memberi gambaran mengenai Tragedi 13 Mei (kalangan tertentu menggunakan istilah 513). Setakat yang penulis lihat, hanya satu yang agak objektif sementara yang lain menggunakan 13 Mei sebagai 'alat politik' untuk menegaskan bahawa merekalah sebenarnya yang menjawab permasalahan 13 Mei.

Komunisme sebagai 'isme' kerajaan mahupun sebagai gerakan ketenteraan yang merosakkan fabrik kemasyarakatan negara tidak wajar sama sekali diangkat sebagai perjuangan heroic dan berasaskan kemerdekaan.

Makna kemerdekaan tidak wajar difahami di atas landasan 'isme' yang sedemikian kejam dan menghancurkan negara. Tidak ada asas sentimental apa pun yang wajar mengembalikan mereka sebagai hero di bumi bertuah Malaysia ini!

Faham dan apresiasi sejarah inilah yang amat penting kita dedahkan di kalangan anak muda kita. Mereka mungkin memahami sejarah secara tersurat tetapi belum mampu memahami sejarah secara halus dan tersirat. Inilah yang selalu kita gagal menjelaskan kepada kalangan anak-anak muda.

Memahami sejarah secara 'tersurat' akan hanya tertumpu kepada usaha penghafalan fakta. Ia tidak mampu diisi secara 'makna dalam' kepada sebarang peristiwa yang berlaku. Jalan mudah - kita perbetulkan sejarah supaya sesuai dengan jalan politik kita sendiri.

Komunisme bukan sahaja menarik perhatian segelintir masyarakat Cina, malah ada juga kalangan orang Melayu yang terbuai dengan 'nilai komunisme'. Ahmad Indera adalah contoh kecil.

Sewaktu pengaruh PKM berleluasa, ada gerakan yang digelar sebagai Min Yuen atau gerakan rakyat yang menjadi kekuatan moral kepada gerakan komunisme. Bukan secara keseluruhan kerana simpati kepada gerakan komunisme; tetapi lebih kepada takut dizalimi oleh PKM.

Orang Cina juga berdepan dengan dugaan yang bukan kecil sewaktu PKM berleluasa. Semua ini hanya mampu ditangani dengan usaha Rancangan Briggs dan pengwujudan kampung-kampung baru.

Justeru, komunisme bukanlah suatu gerakan yang memberikan syurga kepada mana-mana bangsa. Hakikat sejarah ini jangan sesekali kita tolak.

Dosa menjahanam bangsa dan negara jangan mudah dilupakan dengan nilai sentimental, walau apa alasan pun. Lebih penting lagi, adalah untuk kita sama-sama melihat jauh ke depan dan menerima hakikat sejarah seadanya.

Trend memperolok dan 'memperbetulkan' sejarah ini dimulakan oleh kalangan ahli politik yang bankrap idea dan gagasan. Dengan mudah, sejarah dijadikan insiden prima facie yang membenarkan tindakan mereka untuk membuka ruang pemahaman sejarah yang baru.

Asalkan ia mampu ditafsir dengan omongan dan retorik kosong, sejarah dijadikan alat politik.

Penulis bersetuju dan mengalu-alukan usaha mengembalikan faham sejarah sebenar, dengan nilai objektif yang luhur dan mendalam.

Sejarah jangan dijadikan bahan dagang politik, apatah lagi menjadi alat untuk membenarkan sikap dan fikrah ekstremisme. Kita wajar melihat semula sejarah sebagai sumber kekuatan dan jati diri bangsa dan bukannya alat politik songsang yang merosakkan.

Rakyat wajar membuka mata bahawa mereka yang gemar 'menulis semula' sejarah dengan kepentingan politik adalah kalangan yang sangat terdesak dan cuba untuk memberi kekuatan kepada pelbagai tindakan yang merosakkan.

Kita tidak mahu sejarah menjadi fiksyen hanya kerana mahu memastikan segelintir pihak beroleh kelebihan politik.

Kita seboleh-bolehnya tidak mahu pemergian Allahyarham Sarjan Jamil dan yang lain di Bukit Kepong sebagai 'permainan politik' orang yang mahu membangkitkan elemen heroisme kepada gerakan komunis.

Sarjan Jamil dan rakan-rakannya itulah hero sebenar. Mereka wajar diangkat sebagai kelompok yang perlu dikenang dan dihormati. Bukankah lebih elok, dengan semangat Satu Malaysia, kalangan pemuka politik bukan Melayu juga mengakui hakikat ini.

Darah pahlawan yang tumpah di Bukit Kepong, malah di seluruh negara, tidak akan mampu dibersihkan. Fahaman komunis yang ingin mewujudkan anarcho-communism inilah yang sebenarnya merosakkan fabrik sosial bangsa.

Kepulan asap 23 Februari 1950 yang membakar Bukit Kepong itu adalah gambaran bahawa bangsa kita pernah terbakar dek kerenah komunisme. Hentikanlah mengangkat mereka sebagai hero kerana kita ada wira sebenar. - Utusan Malaysia

0 komen:

Post a Comment