Isnin hadapan sekolah akan dibuka semula setelah bercuti selama 2 minggu. Tetiba terkenang pula akan kampung halaman. Lama benar rasanya merantau. Teringin pula rasanya nak berhijrah balik ke kampung.
Di kampung ada sawah padi, kebun getah dan yang paling istimewa kebun durian. Semuanya itu adalah satu kenangan yang sukar teman lupakan. Bila terkenangkan waktu kecil-kecil dahulu semasa tinggal di kampung terasa juga rindunya.
Itu semua hanya tinggal kenangan. Kampung itu cuma satu tapak peninggalan dalam sejarah keluarga Mohd Radzi. Satu persatu anak-anak allahyarham keluar meninggalkan kampung. 9 orang semuanya seorang pun tiada menetap di kampung. Apa yang lagi menyedihkan, seorang pun tidak menetap di Negeri Perak Darul Ridwan. Teman di Sarawak manakala yang lain semuanya di Selangor Darul Ehsan.
Sesekali ada juga balik ke kampung untuk ziarah pusara ayah dan encek. Bila balik ke kampung dapatlah bertemu dengan saudara-saudara tua. Itupun ramai yang dah pergi menemui tuhannya. Anak-anak mereka pula ramai yang merantau dan menetap di luar kampung seperti keluarga teman juga.
Hujung tahun 2008, teman balik menghadiri majlis perkahwinan adik perempuan teman. Terasa macam kat kampung pula kerana ramai saudara mara dan orang kampung yang hadir walaupun majlis kenduri dibuat di Selangor. InsyaAllah, hujung tahun ini adik lelaki teman akan mengakhiri zaman bujangnya. Walaupun gadis pilihannya itu orang Selangor tetapi teman difahamkan kedua ibu bapanya orang Perak.
Kenapa jadi macam ini? Sukar teman memikirkannya. Negeri Perak katanya sebuah negeri maju tetapi kenapa ramai rakyatnya berhijrah keluar terutamanya di Wilayah Persekutuan dan Selangor. Contoh paling mudah 75% daripada saudara mara teman sama ada di sebelah ayah atau encek(ibu) ramai yang berhijrah dan manetap di luar Perak.
Manong pekan di mana tempat teman berlibur pada hari Jumaat kerana pekan minggunya tetap seperti dahulu. Malah Kuala Kangsar tempat teman bersekolah dahulu juga masih macam dulu-dulu tidak banyak yang berubah.
Kg Lempor Hilir kini cuma satu kenangan silam dan sekadar tanah asal di mana bermulanya sejarah keluarga Allahyarham Mohd Radzi. Alfatihah buat ayahanda dan bonda.
Program 5S bersama JAIS
9 years ago
0 komen:
Post a Comment